Pages

Wednesday 29 February 2012

A. Samad Ismail

A. Samad Ismail – Tokoh Wartawan, Nasionalis, Bahasa dan Sastera Melayu

January 27, 2010
Oleh Anak Waris | Kategori Pejuang Bahasa, Sejarah, Tokoh


“Kita tidak boleh membincangkan masa depan bahasa Melayu tanpa membincangkan masa depan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu ialah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu ialah sejarah orang Melayu. Masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga.” – demikian kata-kata Allahyarham A. Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Tan Sri A. Samad Ismail atau Pak Samad lebih dikenal sebagai tokoh wartawan, sasterawan dan nasionalis. Walaupun begitu Pak Samad sebenarnya turut dikenal sebagai pejuang bahasa dan sastera Melayu.
ps
Allahyarham A. Samad Ismail
Sejarah ringkas
Allahyarham Pak Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura. Berikut adalah biodata ringkas beliau:-
  • Utusan Melayu. 1941 (16 tahun).
  • Pengarang, Berita Malai. 1944 (20 tahun).
  • Penolong Pengarang, Utusan Melayu. 1946.
  • Pengarang Pertama, Berita Harian. 1959.
  • Ahli panel Hadiah Karya Sastera. 1971.
  • Pengarang Urusan, kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). 1974.
  • Penasihat Jabatan Pengarang, NST. 1984 – 1988.
  • Lain-lain: Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.
Pak Samad pernah terlibat aktif dalam memberikan pandangan beliau tentang bahasa Melayu dalam Kogres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada tahun 1968.
“Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.” – tegas Pak Samad melalui akhbar The Singapore Standard pada 6 Mei 1953.
Kedudukan Bahasa Melayu
Pak Samad menyedari peri pentingnya bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia. Sejak awal lagi Pak Samad begitu mengutamakan bahasa Melayu dan ingin memastikan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Pandangan beliau banyak dilontarkan melalui tulisan dan ceramah beliau di merata-rata tempat. Beliau telah memanfaatkan sebahagian daripada kehidupannya untuk memajukan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat.
Dengan kedudukannya sebagai pengarang akhbar bahasa Melayu, beliau sentiasa menyemarakkan semangat dalam kalangan penulis, masyarakat dan pembaca agar mencintai dan memajukan bahasa Melayu ketika bahasa Melayu dipandang rendah dan akhbar Melayu tidak mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu sendiri.
Beliau mengkritik keras orang Melayu yang berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan ilmu sainstifik dan pemikiran moden, maka bahasa Inggeris digunakan, dan bukannya bahasa Melayu. Golongan ini, menurut beliau tidak memahami hubungkait antara perkembangan sosial dengan perkembangan bahasa.
Hujah beliau, “kita perlu yakin bahawa bahasa Melayu dapat mencapai kedudukan mantap dan kekayaan kosa kata seiring dengan kemajuan masyarakat di Malaya”.
Kata beliau lagi, “suatu hari, bahasa Melayu akan menjadi wahana penting untuk memenuhi aspirasi politik, budaya, dan spirirual rakyat”.
Pak Samad tidak lokek dengan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menambah ilmunya. Minat dan tabiat membaca yang mendalam beliau terpancar melalui koleksi buku beliau. Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke rumah beliau di Petaling Jaya, sudah pasti akan terpesona dengan himpunan buku beliau yang dimiliki oleh beliau. Kecintaan terhadap buku menyebabkan beliau memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak beliau agar buku-buku beliau dipelihara dan tidak dibawa keluar dari rumah apabila beliau sudah tiada.
Begitu juga dengan tabiat membaca. Pada saat-saat beliau tidak lagi begitu bertenaga untuk bergerak di luar rumah, membaca akhbar merupakan kewajipan beliau pada setiap hari. Boleh dikatakan hampir semua akhbar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ada di atas katil beliau.
Anugerah Tokoh Wartawan Negara, melalui tugas dan sumbangan beliau sebagai pengarang pada zaman premerdeka dan pascamerdeka itu bukan sahaja telah banyak menentukan corak kewartawanan dunia persuratkhabaran di Malaysia, tetapi juga membantu memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu.
Penulisan Sastera
Beliau menyedari hakikat bahawa salah satu langkah untuk memajukan bahasa Melayu adalah melalui penulisan sastera. Allahyarham Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan, antara tahun 1966 hingga tahun 1975. Namun, dalam berkarya, beliau paling profilik pada dekad 1960-an. Antara karya beliau termasuk:-
  • Kail Panjang Sejengkal (1963)
  • Patah Sayap Terbang Jua (1966)
  • Mengasah Bakat (1966)
  • Kursus Wartawan (1966)
  • Tembok Tidak Tinggi (1967)
  • Orang Jauh (1967)
  • Bimbingan Penulis (1967)
  • Menduga Lautan Dalam (1968)
  • Menimba Yang Jernih (1968)
  • Detik-detik Cemas (1969)
  • Orang Lama (1969)
  • Hussein Zet (1970)
  • Sutinah (1975)
  • Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993)
  • Hud (1995)
Antara antologi cerpen beliau termasuklah:-
  • Mekar dan Segar (1959)
  • Karangan Bunga Dari Selatan (1963)
Antara cerpen beliau pula termasuklah:-
  • Temasya Tinta (1967)
  • Mastura (1967)
Pada tahun 2005 pula, DBP telah menghimpunkan 20 buah cerpen beliau dalam antologi Edisi Pagi yang pernah disiarkan dalam pelbagai media seperti Semangat Asia, Mastika, Berita Minggu, Fajar Asia, Mastura, Temasha Tinta, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Cerpen beliau yang pertama adalah pada tahun 1944, dan cerpen beliau yang terakhir adalah pada tahun 1991.
Pemergian beliau pada usia 84 tahun pada 4 September 2008 meninggalkan legasi yang bukan kecil kepada dunia kewartawanan, kesusteraan dan kebahasaan.
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meniggalkan nama.”
Sumbangan beliau dan jasa Allahyarham Pak Samad yang amat besar dalam dunia kebahasaan, kesusteraan, penulisan dan kewartawanan merupakan khazanan yang tidak ternilai kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia.
Sumber:- Dewan Bahasa, Oktober 2008 (Jeniri Amir)
Artikel sama yang berkaitan:
  1. Hamka – Tokoh Ulama, Politik dan Sasterawan Nusantara Hamka ialah seorang ulama dan intelektual muslim berasal dari Minangkabau, Indonesia yang pengaruhnya melampaui sempadan geografi Indonesia....
  2. Abdul Rahim Kajai – Bapa Kewartawanan Melayu Sebagai Bapa Kewartawanan Melayu, beliau menjadi mentor kepada wartawan Melayu sebelum perang. Beliau dikenang sebagai wartawan ulung,...
  3. Bicara Bahasa – Agenda Pemerkasaan Bahasa, Agenda Bersama Setelah 53 tahun negara kita merdeka, bahasa Melayu masih berhadapan dengan pelbagai cabarannya, antaranya cabaran daripada bahasa...
  4. Coret-Coret Pengarang – Nasib Buku Bahasa Melayu Semakin ilmiah buku yang diterbitkan dengan jumlah halaman yang lebih tebal, maka semakin sukarlah sesebuah buku yang...
  5. Kiyai Salleh – Tokoh Pejuang yang Menentang Komunis di Muar dan Batu Pahat, Johor Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah"...